HERE WITH YOU
FOKUS BERANI IKHLAS



Monday, 8 August 2011

UPKO TUNTUT SEPANGGAR

BAKAT BERKARAT ... sehari selepas mesyuarat di rumah Datuk Steven, beliau menyertai kami di harijadi pertama anak buah saya, Ian Ethan Lester Bingkasan, di Kg Kionsom. Dan sempat jugalah cuba mencungkil skill dulu dulu.... "need more practice" dorang bilang hehe

SEBAGAIMANA dalam siaran media oleh Ketua Upko Sepanggar (US) Datuk Steven K Kutai ini, saya adalah antara yang hadir dalam mesyuarat di kediaman beliau hujung minggu lalu. Cukup terharu melihat semangat teman-teman seperjuangan yang bersungguh-sungguh mahu memberikan alternatif serta wadah kepada masyarakat kita untuk terus terlibat secara langsung dalam arus perdana pembangunan negara. Semoga perjuangan ikhlas ini beroleh kejayaan.

UPKO TUNTUT SEPANGGAR

INANAM, 7 Ogos 2011: Upko Sepanggar sebulat suara memohon untuk diberikan peluang bertanding dalam pilihanraya umum ke-13 yang menjelang tiba.

“Upko menuntut Sepanggar. Itulah resolusi yang kami persetujui dalam mesyuarat gilang gemilang kami di Kokol, Menggatal bulan lalu,” kata Datuk Steven K Kutai, ketua Upko Sepanggar (US) kepada media di sini hari ini.

“Tuntutan yang berlandaskan konsep perkongsian kuasa Barisan Nasional ini disokong padu oleh lebih 5,000 ahli Upko Sepanggar,” tambahnya lagi.

Kutai ditemui media yang bertanya beliau mengenai hasilan mesyuarat pertama Ahli Jawatankuasa US yang telah diadakan di kediaman beliau pada malam 5 Ogos.

“Kami berterima kasih kepada para perwakilan Mesyuarat Agung Tritahunan Upko Sepanggar pada 17 Julai lalu yang meneruskan komitmen jitu serta berwawasan dalam Upko,” kata Kutai.

“Barisan kepimpinan Upko Sepanggar akur dengan suara rakyat agar kami mewakili kerusi Parlimen Sepanggar. Kami sudah memaklumkan hasrat ini kepada pucuk pimpinan tertinggi Upko, dan kami berharap ia akan dipersetujui,” tambah beliau.

Ditanya kemungkinan niat US itu boleh mencetuskan suasana tegang dikalangan parti komponen di Sepanggar, Kutai percaya BN sudah cukup matang dalam perkara itu.

“Kami menyatakan keinginan semua ahli kami. Begitu juga parti BN yang lain. Yang penting, setelah keputusan dibuat mengenai parti yang akan bertanding nanti, semua ahli komponen BN akan bersatu padu memenangkan siapapun juga calon. Itulah yang telah Upko Sepanggar buat selama ini, sekali gus memastikan Sepanggar kekal diwakili oleh parti pemerintah,” tegas beliau.

Kutai juga berkata AJK semalam berterima kasih kepada 188 orang yang menyerahkan borang permohonan menjadi ahli Upko semasa di Kokol.

“Kami juga sedang memproses banyak lagi permohonan untuk menyertai kami. Semua ini mencetuskan semangat baru agar kami terus disiplin dalam parti dan berjuang, dengan cara kami yang tersendiri, demi kemajuan berterusan masyarakat kita dan Negara,” kata beliau.

Mesyuarat semalam dihadiri oleh barisan baru AJK Sepanggar yang dipilih dalam MAT lalu, termasuk bekas naib ketua Albert Bingkasan yang menang tanpa tanding bagi jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

Lebih 500 perwakilan dan pemerhati memeriahkan MAT lalu yang diakhiri dengan majlis kesyukuran kerana kejayaan US menjadi hos Rumah Terbuka Tadau Kaamatan Upko Nasional di Menggatal pada Mei lalu.

Malam gelap gulita Kokol ketika itu juga diterangi oleh pertunjukan bunga api.

Kerusi Parlimen Sepanggar dimenangi oleh BN melalui parti SAPP dalam pilihanraya umum ke-12 pada 2008. Walau bagaimanapun, SAPP telah keluar daripada BN dan menjadi pembangkang.

Dua kerusi Dewan Undangan Negeri dalam Sepanggar di wakili komponen BN yakni Inanam oleh Parti Bersatu Sabah manakala Karambuni oleh Umno